Assalamualaikum,,..Kita dikejutkan dengan isu tayangan video sajak kematian oleh seorang ustazah yang dikatakan membawa trauma kepada murid murid yang menyaksikannya sehingga menyebabkan menteri pelajaran mengeluarkan arahan supaya tayangan video berkenaan dihentikan. Demikianlah gerunnya setengah manusia dengan kematian. Sehingga tidak mahu melihat apatah lagi memikirkannya. Tetapi manusia sering lupa bahawa kematian adalah kemestian. Tiap yang bernyawa pasti merasai mati, adalah sebahagian ayat ALLAH yang menegaskan kepada manusia bahawa kematian tidak boleh dielakkan. Jadi kenapa trauma dengan mati? Sedangkan antara ajaran dari baginda Rasullah mengajar kita bahawa kematian adalah fokus kepada kemajuan. Dengan mengingati mati sahaja, manusia akan terhijab dari melakukan kemungkaran dan kezaliman dalam semua bentuk dan sekaligus membentuk jiwa insan yang sentiasa peka dengan perintah dan larangan ALLAH. Bertolak dari sini, manusia akan terus berusaha untuk melakukan kebaikan sebagimana didefinasikan oleh petunjuk wahyu dan akhirnya menuju kepada kemajuan yang sebenarnya.
Ringkasnya, kematian ialah satu bentuk motivasi yang menggerakkan manusia kepada tamaddun yang sebenar. Selain dari itu, kematian juga adalah batas kepada kebebasan manusia. Sungguhpun manusia boleh mendabik dada mengatakan mereka boleh lakukan apa saja dalam hidup tetapi manusia tidak mampu untuk menentukan kematiannya. Manusia tidak berdaya untuk memilih cara kematiannya, menentukan bilakah dia hendak mati dan memilih tempat kematiannya serta menentukan di mana dia dikuburkan.
Pendek kata, manusia tidak langsung diberi hak untuk menentukan masa dan cara kematiannya. Untuk itu, manusia sebenarnya tidak bebas dan manusia seharusnya adil kepada diri mereka sendiri dalam menginsafi kenyataan ini. kalau dalam soal kematian, manusia tidak dapat memilih maka sudah tentu manusia juga tidak diberi kebebasan memilih dalam kehidupan mereka. Kelebihan manusia terletak kepada akal. Akal manusia seharusnya digerakkan untuk memahami petunjuk wahyu dan seterusnya bertindak dengan mengikuti petunjuk tersebut. Satu perkara yang dilarang oleh petunjuk wahyu tersebut seharusnya dihindari oleh manusia dan satu suruhan patut diikuti dengan tekun dan istiqamah. Maka dakwaan manusia bebas melakukan apa saja dalam hidup tidak benar sama sekali dan kematian membuktikannya dengan jelas. Untuk itu, tidak perlu truama dengan kematian sekalipun ditunjukkan kepada kita dalam simulasi yang mengerikan sekalipun.
Simulasi kematian yang digarap dalam video tersebut berdasarkan keterangan sahih dari baginda Nabi yang sepatutnya diberi perhatian oleh kita semua. Lainlah kalau simulasi kematian itu dibuat dengan sesuka hati dan keterangan yang menyimpang, ianya patut dihalang kerana memberi keterangan yang tidak benar. Tetapi simulasi yang berdasarkan keterangan hadis yang jelas seharusnya diberi perhatian. Itu panduannya, bukan trauma atau takut kepada mati menjadi ukuran. Ingatlah, sebagai umat Muhamad,setiap kita adalah pendakwah yang diamanahkan untuk menyampaikan ajaran baginda sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud 'sampaikan(dari pengajaranku) walaupun satu ayat...."Maka menyampaikan peringatan tentang kematian beserta keterangannya adalah sebahagian tanggungjawab yang patut dipikul oleh semua umat Islam. untuk itu, bantahan seorang yang berstatus Doktor dan larangan menteri pelajaran itu amat dikesali."

No comments:
Post a Comment