Sunday, December 14, 2008

Arwah tidak dapat tidur lena

KUALA LUMPUR: “Perangai ayah berubah kebelakangan ini apabila sering mengaku sakit dada dan tidak dapat tidur lena. Dia juga beberapa kali sesat mencari jalan pulang ke rumah.“Namun kami tidak sangka itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami sekeluarga untuk selama-lamanya,” kata anak lelaki Asisten Superintendan Mohamad Najib Zainol, 51, yang terkorban dalam nahas jalan raya di Jalan Syed Putra berhampiran Wisma Belia, di sini, awal pagi semalam.Kemalangan ngeri membabitkan dua kenderaan itu turut mengorbankan empat lagi nyawa, manakala empat yang lain cedera parah.Difahamkan, dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, Najib yang juga Pensyarah Undang-Undang Pusat Latihan Polis (Pulapol) memandu kereta Proton Wira kelabu bersama dua rakannya dari arah Petaling Jaya menuju ke ibu kota.

Bagaimanapun, kenderaan dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke arah jalan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta Proton Wira putih dinaiki enam sekawan.

Berikutan perlanggaran kuat itu, pegawai polis berkenaan bersama rakannya, Abdul Razak Abu Bakar, 43, dan seorang wanita negara jiran dikenali sebagai Malangphueng Miss Kwankew, 33, mati di tempat kejadian.Turut terkorban S Pushpamurali, 25, dan G Ganopathy, 25 yang menaiki Proton Wira putih, manakala empat yang cedera dikenali sebagai Dorairaju, 24, Ruuben Pillai, 25, serta dua wanita, Surjeet Kaur, 26, dan V Kolairam, 18.Kelima-lima mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, manakala empat yang cedera parah dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya bagi mendapatkan rawatan lanjut.Mohd Nazrul Mohamad Najib, 25, berkata ayahnya menghidap masalah jantung sejak dua tahun lalu dan mengadu sakit dada sebelum keluar dari rumah mereka di Pantai Dalam, kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.“Dia (ayah) tidak memberitahu apa-apa lagi selain mahu keluar untuk bertemu rakannya. Namun, saya terkejut sebaik didatangi beberapa anggota polis pagi tadi (kelmarin) memaklumkan kemalangan itu,” katanya.Menurut Nazrul, ayahnya sebelum ini pernah berhasrat membuka restoran makanan selepas bersara dan dianggap sebagai periang serta bertanggungjawab kepada keluarga.Mohd Najib yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia sejak 1976 meninggalkan balu, Norhayati Hamidin, 52, serta tujuh anak berusia 11 hingga 32 tahun. Jenazahnya dikebumikan di Sungai Petani, Kedah.Sementara itu, bapa saudara Puspamurali, S Shankar, 50-an, berkata tragedi ngeri itu memusnahkan impian teman wanita mangsa yang merancang untuk berkahwin hujung bulan depan.Menurutnya, mangsa adalah anak tunggal dan segala persiapan sudah dibuat ibunya, termasuk mengedar kad jemputan kahwin kepada saudara mara.

Friday, December 12, 2008

Petanda Ajal

KUANTAN: “Sehari sebelum kejadian, adik saya bersikap pelik apabila dia sibuk mengemas rumah dan menukar permaidani serta alas meja baru. “Namun, kami tidak sangka perubahan sikapnya itu petanda dia akan pergi untuk selama-lamanya,” katanya abang sulung kepada Ahmad Kamel Abdul Malek, 50, yang terkorban dalam nahas jalan raya bersama Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Abdullah Rahmat, 51, di Kilometer 92 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), dekat Lanchang, Temerloh, malam kelmarin.Mohamed Zain, 63, yang juga pengusaha batik, berkata perubahan sikap adiknya itu diceritakan isteri arwah, Shaniza Zainal Abidin, 39, ketika pengebumian jenazah di tanah perkuburan Islam di Bukit Ubi di sini, kira-kira jam 11.30 pagi, semalam.Menurutnya, dia menerima berita kemalangan sehingga menyebabkan dua maut termasuk adiknya, manakala seorang lagi cedera parah daripada seorang rakan mangsa beberapa jam selepas kejadian jam 9.15 malam.
Katanya, adik iparnya itu juga ada memaklumkan cubaan untuk menghubungi Mohd Kamel yang dalam perjalanan ke ibu negara bersama dua lagi rakan dengan sebuah pacuan empat roda gagal apabila telefon bimbitnya tidak berjawab.

“Arwah adik saya yang juga pengusaha kafe di Kolej Ikip kampus Alor Akar bertolak ke ibu negara atas urusan kerja kira-kira jam 6 petang semalam (kelmarin). Dia ke sana bersama seorang rakan baik dalam perniagaan dan pemandunya.“Kira-kira jam 9 malam tadi, isterinya cuba menelefon untuk bertanyakan keadaannya sama ada sudah tiba di Kuala Lumpur. Malangnya panggilan tidak berjawab sebelum dimaklumkan mengenai kemalangan ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, selepas selesai majlis tahlil untuk arwah.Mohamed Zain berkata, dia sedih dengan kehilangan arwah adik yang juga anak ke-11 daripada 16 beradik yang disifatkan suka membantu dan begitu peramah.“Jenazah arwah dibawa pulang ke Kuantan dari Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh, sebaik bedah siasat selesai dijalankan kira-kira jam 4 pagi tadi.“Walaupun terasa dengan kehilangan ini, kami reda dengan kejadian dan menganggap mungkin Tuhan lebih menyayanginya,” katanya.