Monday, January 26, 2009

Mahu di suap petanda Ajal

BUKIT BERUNTUNG: “Kelakuan ganjil anak saya yang mahu disuap nasi sambil bergurau kelmarin rupanya petanda dia akan pergi meninggalkan kami selama-lamanya,” kata Sarimah Awang, 40,

Anak lelaki Sarimah, Muhammad Haffizz Mohd Ridzuan, 17, terbunuh selepas skuter yang ditungganginya gagal dikawal sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di persimpangan Jalan Jenjarum menuju Bukit Beruntung, dekat sini, kira-kira jam 1.45 tengah hari semalam.

Sarimah berkata, selepas mendapat panggilan telefon daripada orang awam yang menyaksikan kejadian itu dia segera ke tempat kejadian untuk melihat keadaan sebenar.

“Hancur hati saya dan sebak melihat mayat anak terbujur kaku berlumuran darah di kepala. Tidak sangka dia tidak sempat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Saya diberitahu dia menunggang motosikal milik pengusaha bengkel motosikal di Bukit Sentosa setelah menghantar motosikalnya jenis Honda EX5 yang rosak untuk diperbaiki. Kurang lima minit bertolak dari bengkel itu dia terbabit dalam kejadian itu,” katanya ditemui di rumahnya di Pangsapuri Mawar, Taman Bunga Raya, dekat sin, semalam.

Mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bunga Raya 1, dekat sini, adalah anak tunggal dikatakan bekerja sambilan di bengkel itu sejak tahun lalu.


Sarimah berkata, mangsa juga menggunakan motosikal yang dihadiahnya selepas dia memperoleh keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dua tahun lalu ke sekolah setiap hari.

“Saya terkilan dengan motosikal juga nyawa anak saya melayang walaupun dipinjam dari bengkel berdekatan. Melihatkan keadaan ngeri mayatnya cukup menyayat hati ini.

“Dia anak yang baik, periang dan cukup menghormati orang tua sepanjang masa. Kejadian malang sempena musim perayaan Tahun Baru Cina tahun ini meninggalkan kenangan pahit dalam hidup saya sekeluarga,” katanya.

Wednesday, January 14, 2009

Mimpi Terbenam Tubuh Dalam Tanah

“Saya bermimpi ternampak sekujur tubuh dari kaki hingga paras pinggang berwarna putih yang tidak mempunyai wajah terbenam dalam tanah.“Tak sangka mimpi itu membawa petanda adik saya akan pergi selama-lamanya,” kata Mohd Zaih Ismail, 38, abang sulung kepada Mohd Zaini, 35, yang maut dalam kemalangan ngeri di kilometer 28 Lebuhraya Karak, semalam.Menurut Mohd Zaih, dia masih tertanya mengenai mimpi yang dialaminya selama dua hari berturut-turut itu hinggalah mendapat khabar duka mengatakan adiknya maut dalam kemalangan terbabit. Dalam kemalangan jam 3.15 petang itu Mohd Zaini yang memandu sebuah lori dobi bersama kelindan Mohd Fadzly @ Suwardy Yahya, 31, maut apabila lori tangki seberat lima tan merempuh lori yang mereka naiki dari arah bertentangan.

Kelindan lori tangki berkenaan seorang warga Indonesia dikenali sebagai Amri turut maut manakala pemandunya Hujang Natir, 49, dari Petaling Jaya, cedera parah.

Thursday, January 1, 2009

Maut Detik 12 Malam

KUALA LUMPUR: Perasaan teruja empat sahabat melihat pertunjukan bunga api sempena sambutan tahun baru bertukar tragedi apabila rakan mereka maut selepas dikatakan terkena kejutan elektrik daripada sebatang tiang lampu dipercayai rosak.Bagaimanapun, dua sahabat mangsa sanggup menggadaikan nyawa untuk menyelamatkan rakan mereka yang hampir maut akibat terkena kejutan elektrik bervoltan tinggi itu. Dalam kejadian tepat jam 12 malam berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Ampang, mangsa Muhammad Failzul Abdul Kasek, 18, dikatakan terus kaku selepas disambar elektrik sejurus bersandar pada tiang lampu.Akibat aliran arus bervoltan tinggi yang melampau itu, badan mangsa menjadi hitam seakan terbakar manakala bahagian belakang melecur.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa mengadu kepenatan akibat banyak berjalan dan bersandar pada tiang lampu berkenaan untuk melihat pertunjukan bunga api sempena sambutan tahun baru.

Tergamam seketika dengan kejadian itu, dua daripada rakan mangsa bertindak menarik mangsa dari tiang berkenaan untuk menyelamatkannya.Rakan mangsa yang panik kemudian meminta bantuan orang ramai untuk menghubungi ambulans.Ibu mangsa, Hamisah Soleh, 35, berkata, melalui cerita rakan mangsa itu, ketika dalam perjalanan ke hospital, anak sulung daripada dua beradik itu dikatakan masih bernyawa bagaimanapun, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.Dia tidak menyangka gurauannya yang enggan memberikan wang pada mangsa ketika diminta adalah gurauan terakhir dengan anak lelakinya itu.“Pagi sebelum kejadian, Failzul meminta wang sebagai belanja, dengan niat bergurau saya mengarahkan dia meminta wang berkenaan daripada ayahnya.“Failzul terpaksa menunggu hingga bapanya pulang dari kerja jam 7 malam untuk mendapatkan wang itu, sebelum menaiki bas menuju ke ibu kota bersama kawannya,” katanya.Hamisah berkata, setiap tahun anaknya itu tidak akan melepaskan peluang menyaksikan pertunjukan bunga api, bagaimanapun pagi kelmarin dia merasa pelik dengan gelagat mangsa yang amat tidak sabar untuk melihat pertunjukan itu.Jenazah mangsa dituntut ahli keluarganya di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi urusan pengebumian petang semalam.