Sunday, March 7, 2010

Ucapan arwah jadi petanda

MELAKA: “Petang sebelum kejadian, arwah adik saya memberitahu, malam ini (kelmarin) pasti hujan lebat. Tak sangka apa diucapkannya petanda keluarga kami dihujani air mata apabila dia pergi buat selama-lamanya,” kata Noriman Nizam Tukiman, 26, abang kepada Muhamad Edeyka, 21, yang maut dalam kemalangan di Taman Union, Klebang Kecil, di sini, malam kelmarin.


REMUK... keadaan motosikal Muhamad Edeyka selepas kemalangan. Mangsa menunggang motosikal di depan sambil diekori Hassan.


“Sebaik sampai di tempat kejadian, saya difahamkan sebuah kereta yang memotong kenderaan lain merempuh motosikal arwah, namun bapa saudara saya sempat membrek dan mengelak,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Melaka (HM), di sini, semalam.


Sementara itu, Hassan ketika dihubungi berkata, sebelum kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, dia melihat sebuah kereta pelbagai guna (MPV) Toyota Innova di laluan bersebelahan cuba memotong tiga kenderaan lain di garisan berkembar, tetapi tidak lepas.


Beliau mendakwa MPV terbabit kemudian terus merempuh motosikal anak saudaranya yang berada di depan sebelum terbabas melepasi longkang dan merempuh papan tanda Tadika Klebang Ria dan sebatang pokok palma di situ serta tembok bangunan Tadika berkenaan.


“Saya berkejar ke arah anak saudara saya yang ketika itu masih bernafas. Saya kemudian meminta bantuan orang kampung tetapi ketika berpatah balik saya lihat pemandu kenderaan terbabit melarikan diri,” katanya.


Sementara itu, Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Asisten Superintendan Poon Nam E Keling, berkata kemalangan itu mengakibatkan kaki kanan mangsa hampir putus dan disahkan meninggal dunia di HM, semalam. pada jam 1 pagi semalam.