Friday, February 12, 2010

Suami 'senyap' selepas mengadu letih, sesak nafas

MELAKA: “Selepas menikmati makan tengah hari di restoran ini (Restoran Ikan Bakar Malim), kami berbual seketika tetapi tiba-tiba arwah suami mengadu letih dan kami pun berjalan masuk ke dalam kereta yang diletak berhampiran.

“Bagaimanapun, sebaik memasuki kereta, arwah mengadu sukar bernafas pula dan tidak lama kemudian terus senyap,” kata Norsiah Mohd Isa, 59, dari Kampung Paya Datok, Alor Gajah ketika ditemui di perkarangan restoran terbabit di Ayer Keroh di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 petang itu, suaminya, Allahyarham Ahmat Kasim, 66, yang juga pesara guru meninggal dunia akibat serangan jantung selepas mengadu sesak nafas sebaik selesai menikmati makan tengah hari.

Menceritakan kejadian menimpa suaminya, Norsiah berkata, sebelum itu, mereka baru pulang dari Hospital Melaka (HM) selepas arwah menjalani pemeriksaan kesihatan kira-kira jam 11.30 pagi mengikut temu janji ditetapkan.

Katanya, sebaik menjalani pemeriksaan kira-kira jam 1 tengah hari, suaminya tiba-tiba memaklumkan sudah lama tidak menikmati hidangan ikan bakar lalu mengajaknya pergi ke restoran berkenaan sebelum pulang ke rumah.

“Kami kemudian pergi ke restoran itu dan makan tengah hari, malah segala-galanya berjalan seperti biasa sebelum arwah suami tiba-tiba mengadu letih.

“Tidak lama selepas makan, kami terus ke kereta dan apabila berada di dalamnya, arwah tiba-tiba memberitahu sukar bernafas.

Bagaimanapun, sejurus itu arwah terus senyap meskipun saya cuba memanggilnya,” katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya, arwah suaminya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan HM yang bergegas ke tempat kejadian.

Sementara itu, seorang pelanggan restoran terbabit yang mahu dikenali sebagai Fairuz, 34, berkata dia kebetulan duduk di meja makan bersebelahan arwah sebelum itu.
“Bagaimanapun, selang beberapa ketika selepas pasangan suami isteri itu masuk ke dalam kereta, saya serta beberapa pelanggan lain perasan isteri arwah menangis sambil mengesat air mata.

“Kami lalu ke keretanya dan bertanyakan isteri arwah apa yang terjadi lalu dimaklumkan suaminya tidak bergerak.

Kami cuba memanggilnya tetapi arwah tidak bertindak balas lalu terus menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

1 comment:

zino said...

ajal akan datang bila tiba masa nya...