Monday, January 26, 2009

Mahu di suap petanda Ajal

BUKIT BERUNTUNG: “Kelakuan ganjil anak saya yang mahu disuap nasi sambil bergurau kelmarin rupanya petanda dia akan pergi meninggalkan kami selama-lamanya,” kata Sarimah Awang, 40,

Anak lelaki Sarimah, Muhammad Haffizz Mohd Ridzuan, 17, terbunuh selepas skuter yang ditungganginya gagal dikawal sebelum terbabas dan melanggar tiang lampu di persimpangan Jalan Jenjarum menuju Bukit Beruntung, dekat sini, kira-kira jam 1.45 tengah hari semalam.

Sarimah berkata, selepas mendapat panggilan telefon daripada orang awam yang menyaksikan kejadian itu dia segera ke tempat kejadian untuk melihat keadaan sebenar.

“Hancur hati saya dan sebak melihat mayat anak terbujur kaku berlumuran darah di kepala. Tidak sangka dia tidak sempat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

“Saya diberitahu dia menunggang motosikal milik pengusaha bengkel motosikal di Bukit Sentosa setelah menghantar motosikalnya jenis Honda EX5 yang rosak untuk diperbaiki. Kurang lima minit bertolak dari bengkel itu dia terbabit dalam kejadian itu,” katanya ditemui di rumahnya di Pangsapuri Mawar, Taman Bunga Raya, dekat sin, semalam.

Mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bunga Raya 1, dekat sini, adalah anak tunggal dikatakan bekerja sambilan di bengkel itu sejak tahun lalu.


Sarimah berkata, mangsa juga menggunakan motosikal yang dihadiahnya selepas dia memperoleh keputusan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dua tahun lalu ke sekolah setiap hari.

“Saya terkilan dengan motosikal juga nyawa anak saya melayang walaupun dipinjam dari bengkel berdekatan. Melihatkan keadaan ngeri mayatnya cukup menyayat hati ini.

“Dia anak yang baik, periang dan cukup menghormati orang tua sepanjang masa. Kejadian malang sempena musim perayaan Tahun Baru Cina tahun ini meninggalkan kenangan pahit dalam hidup saya sekeluarga,” katanya.

1 comment:

zino said...

salam maulidul rasul...lama tak nampak menulis kemana gerangan ..