Thursday, January 1, 2009

Maut Detik 12 Malam

KUALA LUMPUR: Perasaan teruja empat sahabat melihat pertunjukan bunga api sempena sambutan tahun baru bertukar tragedi apabila rakan mereka maut selepas dikatakan terkena kejutan elektrik daripada sebatang tiang lampu dipercayai rosak.Bagaimanapun, dua sahabat mangsa sanggup menggadaikan nyawa untuk menyelamatkan rakan mereka yang hampir maut akibat terkena kejutan elektrik bervoltan tinggi itu. Dalam kejadian tepat jam 12 malam berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Ampang, mangsa Muhammad Failzul Abdul Kasek, 18, dikatakan terus kaku selepas disambar elektrik sejurus bersandar pada tiang lampu.Akibat aliran arus bervoltan tinggi yang melampau itu, badan mangsa menjadi hitam seakan terbakar manakala bahagian belakang melecur.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa mengadu kepenatan akibat banyak berjalan dan bersandar pada tiang lampu berkenaan untuk melihat pertunjukan bunga api sempena sambutan tahun baru.

Tergamam seketika dengan kejadian itu, dua daripada rakan mangsa bertindak menarik mangsa dari tiang berkenaan untuk menyelamatkannya.Rakan mangsa yang panik kemudian meminta bantuan orang ramai untuk menghubungi ambulans.Ibu mangsa, Hamisah Soleh, 35, berkata, melalui cerita rakan mangsa itu, ketika dalam perjalanan ke hospital, anak sulung daripada dua beradik itu dikatakan masih bernyawa bagaimanapun, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.Dia tidak menyangka gurauannya yang enggan memberikan wang pada mangsa ketika diminta adalah gurauan terakhir dengan anak lelakinya itu.“Pagi sebelum kejadian, Failzul meminta wang sebagai belanja, dengan niat bergurau saya mengarahkan dia meminta wang berkenaan daripada ayahnya.“Failzul terpaksa menunggu hingga bapanya pulang dari kerja jam 7 malam untuk mendapatkan wang itu, sebelum menaiki bas menuju ke ibu kota bersama kawannya,” katanya.Hamisah berkata, setiap tahun anaknya itu tidak akan melepaskan peluang menyaksikan pertunjukan bunga api, bagaimanapun pagi kelmarin dia merasa pelik dengan gelagat mangsa yang amat tidak sabar untuk melihat pertunjukan itu.Jenazah mangsa dituntut ahli keluarganya di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi urusan pengebumian petang semalam.

No comments: