Saturday, January 30, 2010

Mohon maaf sebelum maut nahas

KOTA BHARU: “Mak cik tidak sangka pertemuan minggu lalu adalah yang terakhir buat kami berdua sebelum arwah pulang ke Politeknik untuk menyambung pengajiannya semester kelima.

“Paling ketara apabila arwah sempat meminta maaf dengan seluruh ahli keluarga,” kata Normah Abd Rahman, 47, ibu mangsa kemalangan maut di Kilometer 12, Jalan Kota Bharu- Pasir Mas.


Dalam kejadian jam 10.15 pagi semalam, Nor Shazwana Mat Zain, 21, yang menaiki sebuah kereta Perodua Kancil bersama empat rakannya terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.


Kemalangan berlaku selepas kenderaan dinaiki kumpulan pelajar Politeknik Kota Bharu terbabit bertembung dengan sebuah kereta jenis Toyota Avanza yang dari arah bertentangan.


Akibat kejadian itu, Nor Shazwana dan rakannya serta penumpang Toyota Avanza mengalami cedera parah sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan Hospital Pasir Mas.


Bagaimanapun, Nor Shazwana yang dikejarkan ke HUSM disahkan meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan kira-kira jam 12.30 tengah hari berikutan kecederaan parah dialami.


Kemalangan itu turut menyebabkan sebuah kereta jenis Nissan Sentra dinaiki dua beranak terbabas selepas mengelak kenderaan terbabit yang bertembung dari arah bertentangan.


Difahamkan kereta dinaiki mangsa dipandu rakannya, Nor Fazuwanis Abllah, 23, dan dipercayai hilang kawalan selepas memotong dan memasuki ke lorong bertentangan menyebabkan kereta Toyota Avanza melanggar tepi kiri kenderaan terbabit.


Akibat kejadian itu, mangsa yang duduk di sebelah pemandu kereta Perodua Kancil bersama empat rakannya lain mengalami cedera parah.


Normah berkata, arwah yang juga anak ketiga daripada enam beradik mengambil jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan (Perdagangan) dan pulang ke rumahnya di Ibu Pejabat Polis (IPD) Machang seminggu sekali bagi bertemu keluarga.


“Kebiasaannya, arwah akan bersalaman dengan saya sebelum kembali ke Politeknik. “Saya tidak sangka arwah yang mempunyai pasangan kembar, Mohd Shazwan, 21, akan pergi meninggalkan kami secepat ini kerana tidak menunjukkan petanda pelik sebelum kejadian,” katanya.


Menurutnya, walaupun sedih dengan kejadian itu tetapi mereka sekeluarga reda dengan kejadian menimpa arwah anaknya dan berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahruddin, berkata kejadian yang membabitkan tiga buah kereta itu berlaku di Kilometer 12 Jalan Kota Bharu - Pasir Mas.


Katanya, kereta yang dipandu pelajar Politeknik, Nor Fazuwanis Abllah, 23, dipercayai baru saja memotong sebelum hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan.


“Akibatnya datang sebuah kereta Toyota Avanza dari arah bertentangan lalu melanggar tepi kiri kereta Perodua Kancil menyebabkan kereta terbabit terbelah dua.


“Penumpang di hadapan kereta Perodua Kancil cedera parah sebelum maut ketika menerima rawatan di HUSM,” katanya.

No comments: